DRAMA Squid Game ini boleh tahan hangat dibincangkan dalam sosial media akhir-akhir ini. Saya kurang tahu perjalanan penuh drama ini, tapi saya ada menonton beberapa babak berdurasi singkat yang telah disunting dan ada juga baca review dari netizen. Secara gambaran penuhnya, drama ini penuh dengan adegan agresif yang melampau.
Perkembangan teknologi yang pesat tidak dinafikan memberi kesan negatif terutamanya remaja dan kanak-kanak. Fenomena ini sangat penting untuk dicermati.
Hilang Rasa Sensitif
Drama, filem atau game yang memaparkan perilaku agresif seperti memukul, menyeksa, membunuh serta scene yang penuh dengan darah boleh menghakis rasa sensitif apabila dilihat secara berulang kali, rasa terbiasa. Bahkan turut menghakis rasa empati terutamanya dalam sebahagian game kerana pihak lawan mestilah diseksa dan dibunuh untuk menang.
Akibat dari terbiasa menonton adegan agresif, ia beransur-ansur terakam di dalam memori. Oleh itu, sikap agresif lebih mudah terbentuk dan mungkin akan diaplikasikan ketika berhadapan dengan sebarang situasi yang dianggap ancaman.
Perubahan Sikap
Menurut Allport, sikap adalah keadaan kesediaan mental dan saraf yang diatur melalui pengalaman yang memberikan pengaruh dinamik atau terarah terhadap respon individu pada semua situasi yang berkaitan dengannya. Berikut adalah 3 elemen yang membentuk sikap:
1. Elemen kognitif: Mereka yang terdedah dengan adegan agresif akan mempunyai pengetahuan bagaimana cara untuk mengalahkan lawan dengan cara-cara yang keras.
2. Elemen emosional: Adegan yang penuh dengan darah dan tragis mengarahkan kepada emosi negatif dan hilang empati.
3. Elemen tindakan: Apa yang dirisaukan ketika berhubung dengan dunia sebenar serta sewaktu diselubungi emosi negatif, mereka lebih cenderung memilih kekerasan untuk menyelesaikan masalah.
Menurut Myers (1999), orang yang banyak terpengaruh dengan apa yang dilihat akan menunjukkan perubahan sikap seperti melempiaskan amarah melalui kekerasan.
Cegah Sebelum Ketagih
Alat elektronik boleh membawa kepada ketagihan sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Kebanjiran Dopamin akan meningkatkan rasa ingin lebih keseronokan dan mahu luangkan masa yang lebih panjang.
Jika bermain game yang agresif, semakin lama bermain mula rasa tidak cukup bunuh musuh dengan cara biasa, mahu guna cara yang lebih ganas untuk memenuhi rasa puas.
Cara mudah untuk mengenalpasti sama ada kita ketagih atau tidak adalah apabila telefon pintar, tablet atau televisyen mula mengganggu fungsi harian dan peranan kita sebagai anak, ayah, ibu, pelajar atau lain-lain. Itu bermakna kita sedang ketagih dan akan mula membentuk personaliti berpusatkan pada diri sendiri yang tidak kisah dengan keadaan sekeliling.
Tulisan ini sebenarnya umum merujuk kepada semua jenis filem, drama, game (seperti gambar yang saya sertakan di bawah) atau babak yang mengandungi unsur agresif, tidak tertumpu kepada Drama Squid Game sahaja.
Cuma rasa terpanggil untuk menulis memandangkan ramai sangat yang recommend tanpa melihat implikasinya kepada masyarakat. Dengan parents guide atau tanpa parents guide, tetap tiada manfaat.
”Sesungguhnya beruntunglah orang-orang Mukmin. Iaitu, orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang-orang yang meninggalkan perbuatan sia-sia.”
(Al-Mukminun; 1-3)
AINA MOKHTAR – HARAKAHDAILY 28/9/2021
Sumber: https://www.facebook.com/100001230314912/posts/4553299794720986/