MELAKA – Polis menahan seorang lelaki yang juga suami seorang ahli politik di negeri ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul anak tirinya baru-baru ini.
Lelaki berusia 29 tahun yang juga suami kepada ahli politik bergelar Datuk ditahan di kediamannya di Merlimau, di sini, pada 25 September lalu.
Tangkapan dilakukan selepas suspek didakwa mendatangkan kecederaan di bahagian kepala anak tiri perempuannya berusia 44 tahun.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang ibu saudara serta sepupunya menziarahi ibunya kira-kira jam 8.15 malam sebelum berbincang mengenai harta pusaka keluarga.
Katanya, ketika berbincang, suspek tiba-tiba masuk campur dengan menuduh mangsa memfitnahnya.
“Pengadu (mangsa) memberitahu suspek supaya jangan masuk campur kerana ini adalah urusan keluarga mereka. Namun suspek dikatakan bercakap tak henti menyebabkan mangsa memberi isyarat supaya suspek menutup mulut untuk diam.
“Berlaku tolak menolak dan suspek memukul kepala mangsa menggunakan buku tebal yang ada di tangannya.
“Mangsa cuba menepis, sebelum suspek menumbuk kepala mangsa beberapa kali,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ibu mangsa kemudian membawa suaminya keluar rumah, namun mangsa sempat membaling selipar ke arah suspek tetapi dibalas dengan pukulan di kepala mangsa menggunakan satu objek dipercayai kunci.
Kejadian itu turut disaksikan ibu saudara dan sepupunya itu, sebelum membawa mangsa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Melaka.
Mispani berkata, suspek ditahan malam kelmarin sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – myMetro Online