KUALA LUMPUR – Bajet 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dijangka berteraskan usaha meningkatkan pendapatan dan peluang kerja rakyat serta membantu sektor perniagaan meraih manfaat daripada pembukaan semula ekonomi dalam dan luar negara.
Justeru, Bajet 2022 yang diunjurkan ahli ekonomi saiznya lebih tinggi daripada RM322.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2021, akan menggariskan pelbagai program dan insentif ke arah itu, selain meneruskan sokongan bantuan tunai.
Langkah berkenaan juga dilihat sebagai strategi serampang dua mata kerana ia juga mampu melonjakkan perbelanjaan pengguna, seterusnya merangsang pelaburan swasta.
Selaras iltizam kebersamaan Keluarga Malaysia yang didukung ketika ini, Bajet 2022 dijangka lebih menyeluruh kerana ia dirangka dengan mengambil kira input dan pandangan pelbagai lapisan masyarakat.
Penganalisis ekonomi menyifatkan bajet tahun depan adalah amat mencabar. Selepas hampir sedekad menikmati pertumbuhan pesat ekonomi, tahun lalu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 5.6 peratus, iaitu penguncupan kedua terbesar selepas Krisis Kewangan Asia pada 1998 (-7.4 peratus).
Ia susulan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sama ada secara penuh dan juga bersasar sejak 2020 untuk menangani penularan pandemik COVID-19.
Meskipun ekonomi dilihat bertambah baik pada Mac, April dan Mei lalu, namun pertumbuhan itu kembali negatif pada Jun akibat pelaksanaan PKP 3.0 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Oleh itu, cabaran kepada negara ketika ini ialah mengembalikan aliran pertumbuhan tinggi, sekali gus menyediakan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan, seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini dilaporkan berkata, Bajet 2022 akan menumpukan kepada strategi 3M iaitu Memulih Kehidupan, Membina Semula Daya Tahan dan Memangkin Pembaharuan.
Katanya, kerajaan akan terus komited membantu rakyat yang masih terjejas serta menyokong kelangsungan perniagaan dalam Bajet 2022.
Malah, kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Bajet 2022 adalah ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ dan ia adalah berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 dan M40 serta sokongan perniagaan bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan.
Sebahagian besar ahli ekonomi menjangkakan kerajaan akan meneruskan belanjawan mengembang bagi 2022 dengan jangkaan 3 peratus hingga 5 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2021.
Peningkatan saiz bajet, kata mereka, adalah bagi menampung perbelanjaan pembangunan (DE) dan perbelanjaan operasi (OE) lebih besar, untuk mendorong pemulihan sosioekonomi dan agenda pembangunan negara sebagai persediaan memacu semula negara pasca pandemik.
Sektor pendidikan dan kesihatan juga dijangka meraih peruntukan besar dalam bajet kali ini.
KAF Investment Bank (KAF) dalam nota penyelidikannya menjangkakan saiz Bajet 2022 adalah RM323.9 bilion atau 2.9 peratus lebih tinggi berbanding 2021.
“Peningkatan itu adalah susulan DE dan OE yang lebih tinggi, manakala peruntukkan Tabung COVID-19 dijangka berkurangan sedikit.
“Dalam pada itu, selaras dengan pemulihan ekonomi, hasil kerajaan dijangka meningkat 7.9 peratus untuk 2022 disokong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.
“Defisit keseluruhan untuk 2022 dianggarkan pada RM 93.7 bilion, penurunan sebanyak -7.5 peratus daripada 2021,” katanya.
KAF juga menjangkakan defisit fiskal diunjurkan mengecil kepada 5.5 hingga 6 peratus daripada KDNK daripada anggaran disemak semula kerajaan iaitu 6.5 peratus hingga 7 peratus daripada KDNK tahun ini.
Hutang Kerajaan Persekutuan pula dijangka meningkat kepada 65.3 peratus daripada KDNK menjelang akhir 2021 daripada 64.3 peratus pada akhir Jun lalu.
“Walaupun hutang kerajaan berkanun terkawal pada 58.1 peratus daripada KDNK pada akhir 2020, namun ia dijangka melepasi had hutang 60 peratus tahun ini.
“Ia selaras dengan cadangan kerajaan baru-baru ini untuk menaikkan had hutang daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada KDNK,” katanya.
Sementara itu, TA Securities Holdings Bhd berkata, Bajet 2022 dijangka meneruskan pelbagai sokongan pemberian tunai serta bantuan meringankan beban rakyat dan perniagaan.
Ia menjangkakan, belanjawan tahunan itu akan mengambil pendekatan berbilang dalam meningkatkan pendapatan, selain disokong bantuan khusus, subsidi, geran dan diskaun untuk dimanfaatkan rakyat, PMKS serta syarikat.
“Antara bantuan yang akan menjadi perhatian dalam Bajet 2022 termasuk perumahan mampu milik, elaun persekolahan serta rebat internet dan bil utiliti,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
TA Securities turut menjangkakan, kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai baharu kerana negara berdepan ‘bencana’ terburuk selepas krisis kewangan Asia.
“Selaras dengan visi menjadi negara maju pada 2025, Bajet 2022 dijangka memberi penekanan dalam meningkatkan daya saing negara, meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan berkualiti dan mempromosikan pembangunan lestari.
“Untuk mencapainya, sejumlah besar daripada belanjawan tahun depan perlu diperuntukkan untuk mengembangkan bakat dan kemahiran, inovasi, penggunaan teknologi disruptif, mempromosikan inklusitiviti dan meningkatkan usaha 17 matlamat kelestarian yang digagaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),”katanya. – BH Online