MOSCOW/ANKARA : Angka kematian akibat kemalangan lombong arang batu di bandar Kemerovo, Rusia meningkat kepada 52 orang pada Khamis, menurut pihak berkuasa.
Mangsa yang maut termasuk anggota pasukan penyelamat, kata Kementerian Situasi Kecemasan.
Setakat ini, 239 orang telah dipindahkan dari lombong itu selepas habuk arang batu yang terbakar menyebabkan asap tebal pada kedalaman 250 meter (820 kaki), manakala 45 orang yang cedera dimasukkan ke hospital, lapor Agensi Anadolu.
Menurut pejabat gabenor Wilayah Kemerovo Oblast, ketika kejadian 285 pekerja berada di dalam lombong tersebut.
Wilayah Kemerovo Oblast adalah antara kawasan perindustrian paling penting di Rusia di barat daya Siberia, dengan beberapa deposit arang batu terbesar di dunia.
Asap tebal menghalang usaha pasukan kecemasan untuk menyelamatkan pelombong yang masih terperangkap.
Pejabat pendakwa raya Wilayah Kemerovo Oblast sudah memulakan siasatan ke atas kemalangan itu.
Presiden Rusia Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan berharap mereka yang masih terperangkap segera diselamatkan.
-Awani