KUCHING: Bekas Naib Pengerusi DAP Sarawak, Wong King Wei mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak nanti.
King Wei ketika dihubungi menjelaskan bahawa keputusan itu diambil selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk mahu bersara dari arena politik.
“Saya tidak akan bertanding pada PRN Sarawak kali ini..
“Ada beberapa sebab, dan saya juga mahu bersara dari politik setakat ini.
“Secara tidak langsung, saya tidak akan mempertahankan kerusi yang saya menangi sebelum ini,” katanya ringkas kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
King Wei yang bertanding di bawah panji DAP mewakili rakyat di Padungan selama dua penggal sejak 2011.
Namun pada 26 Julai 2020, beliau mengumumkan untuk keluar dari DAP berkuat kuasa serta-merta.
Meskipun pimpinan parti negeri memilihnya untuk kekal sebagai calon pada PRN Sarawak King Wei bagaimanapun menolak tawaran berkenaan.
Beliau turut berterima kasih kepada rakyat di Padungan yang diwakilinya dalam tempoh perkhidmatan tersebut kerana telah memberi sokongan padu kepadanya.
Pada PRN11, King Wei menang dengan majoriti 4,270 undi menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN), Pau Kiu Sung (5,062 undi) dan calon STAR, Teo Kuang Kim (116 undi).
Awani-