WASHINGTON: Syarikat farmaseutikal Pfizer memeterai perjanjian bagi memastikan pil antiviral yang dihasilkan untuk merawat Covid-19 diedarkan di puluhan negara berpendapatan sederhana dan rendah.
Perjanjian antara firma farmaseutikal gergasi itu dengan kumpulan kesihatan awam antarabangsa, Medical Patent Pool (MPP) akan membenarkan pembekal mengeluarkan dan membekalkan pil antiviral versi generik di 95 negara tanpa ancaman pelanggaran paten.
Lapor Al-Jazeera, kebanyakan negara yang terlibat dalam perjanjian itu adalah dari Afrika dan Asia yang merangkumi kira-kira 53 peratus penduduk dunia.
Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata, pihaknya kekal komited menghasilkan beberapa penemuan saintifik yang dapat membantu menamatkan pandemik.
“Kami percaya rawatan menggunakan pil antiviral boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan tahap keseriusan jangkitan Covid-19 sekali gus menurunkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan dan menyelamatkan nyawa.
Ujian klinikal peringkat akhir menunjukkan pil antiviral berupaya mengurangkan kemasukan ke hospital sehingga 89 peratus. – AGENSI