Dyson telah menamatkan hubungannya dengan pembekal ATA IMS Bhd berikutan audit terhadap amalan buruh dan beberapa dakwaan lain ke atas syarikat Malaysia itu oleh pemberi maklumat.
Firma Britain yang terkenal dengan pembersih vakum berteknologi tinggi itu memberitahu Reuters bahawa ia telah mengarahkan siasatan audit keadaan kerja di ATA awal tahun ini, dan keputusannya diterima pada 4 Oktober lalu.
Selain itu, Dyson juga telah dimaklumkan pada September lalu oleh pemberi maklumat yang membuat dakwaan mengenai tindakan yang tidak boleh diterima oleh kakitangan ATA dan segera menugaskan sebuah firma undang-undang antarabangsa untuk menyiasat lanjut, katanya.
“Di sebalik pembabitan yang kerap sejak enam minggu lalu, kami tidak melihat kemajuan yang mencukupi dan telah mengeluarkan beberapa barangan,” kata Dyson dalam satu kenyataan kepada Reuters.
“Kami sekarang telah menamatkan hubungan dengan notis kontrak selama enam bulan.”
ATA, yang membuat alat ganti untuk pembersih vakum dan pembersih udara Dyson, tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Menurut ATA, Dyson menyumbang hampir 80 peratus daripada pendapatannya.
ATA pada Mei lalu menafikan dakwaan buruh paksa di kilangnya selepas seorang aktivis hak asasi terkemuka berkata pihak berkuasa Amerika Syarikat akan meneliti amalan kerja syarikat itu.
-Malaysia Kini