JAKARTA: Seorang guru sambilan Sekolah Dasar (SD) Karawang Kulon I di Karawang Barat, Eka Fanovita Mulyani, 28, bertindak membuat laporan polis terhadap ibu bapa salah seorang muridnya.
Suara.com melaporkan, hal demikian kerana ibu bapa tersebut melakukan kekerasan terhadapnya hingga kandungannya keguguran.
Menurut Eka, ibu bapa kepada muridnya itu datang ke sekolah pada 25 Oktober lalu.
Mereka mencarinya yang ketika itu sedang bersama murid kelas 5 untuk penilaian kompetensi.
Eka mengakui dimarahi, diherdik hingga dicaci oleh orang tua murid tersebut.
Mengikut laporan, berlaku pergelutan sehingga menyebabkan luka pada pergelangan tangan Eka.
Setelah kejadian itu, dengan perasaan takut, Eka dihantar ke ruang guru untuk menenangkan diri dan dia turut pengsan.
“Ketika sedar, saya mengalami sakit di bahagian perut dan dibawa pulang ke rumah,” katanya.
Jelasnya, ketika di rumah dan buang air kecil, dia mengalami pendarahan dan dibawa ke bidan terdekat.
Eka kemudiannya dirujuk ke Hospital Ibu dan Anak Dr. Djoko Pramono di Nagasari dan disahkan keguguran.
Orang tua murid itu datang ke sekolah selepas tidak berpuas hati dengan penilaian Eka terhadap anaknya.
Orang tua murid berkenaan meminta maaf atas apa yang berlaku tetapi Eka menyerahkan kepada pihak polis selepas laporan terhadap kes itu dilakukan.