GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menjelaskan orang Islam boleh memakan daging ayam yang belum matang, namun jatuh haram sekiranya daging itu boleh memudaratkan kesihatan pemakannya.
Beliau berkata, Islam melihat atas faktor kemudaratan terhadap kesihatan dan bukannya disebabkan saiznya terlalu kecil atau tidak cukup umur.
“Tiada disyaratkan ayam yang cukup umur untuk dimakan oleh umat Islam. Cuma yang perlu diperhatikan, ayam atau apa jua haiwan yang hendak dimakan itu adalah daripada jenis haiwan ternakan yang dibenarkan dimakan oleh orang Islam serta disembelih mengikut peraturan yang ditetapkan syariat.
“Berkaitan isu penjualan daging ayam dan haiwan-haiwan ternakan untuk makanan orang ramai, para peniaga dikenakan beberapa larangan yang bertujuan mencegah berlaku penganiayaan terhadap para pengguna,” katanya semalam.
Ujarnya, antara lain peniaga dilarang memperkotak-katik harga bahan jualan, menipu harga, mengeksploitasi keperluan orang ramai kepada barangan tertentu terutama makanan, mengurangkan timbangan dan sukatan serta menyorok bahan-bahan supaya dapat dijual dengan harga lebih tinggi berbanding harga sebenar.
“Juga dilarang mengaut keuntungan berlebihan hingga membebankan pengguna,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan para peniaga supaya tidak menaikkan harga bahan-bahan makanan sewenang-wenangnya dengan mengambil kesempatan daripada suasana pandemik Covid 19 yang menyukarkan kehidupan masyarakat.
-Kosmo Online