Pagi semalam, seperti biasa setiap Sabtu dua minggu sekali, halaqah ilmu kaum ibu Kg Vic North berlangsung di rumah saya. Kaum ibu di sini ada yang belajar PhD dan ada yang mengikut suami menyambung PhD seperti saya. Kg Vic North nama kawasan yang diberikan oleh komuniti pelajar Malaysia yang bermastautin di utara Melbourne, Australia.
Tema dan fokus pengisian ialah pendidikan anak-anak menurut sunnah. Setelah ilmu dibentangkan, lazimnya kami berkongsi pengalaman dan ilmu masing-masing. Satu ketika, semasa membicarakan pentingnya ibu memelihara kata-katanya kepada anak-anak, salah seorang dari kami berkongsi kisah seorang Ibu yang solehah.
Seorang anak kecil sedang bermain-main dengan tanah. Si ibu pula sedang menyediakan hidangan untuk tetamu si ayah. Juadah selesai dihidangkan menunggu tetamu yang akan tiba. Tiba-tiba si kecil itu menabur debu tanah ke atas hidangan yang tersedia. Lalu si ibu berkata, “ Pergi kamu! Semoga Allah jadikan kamu imam kepada al-Haramayn”. Anak yang dimarahi ibunya itu sekarang sudah membesar menjadi Imam al-Haramayn iaitu Imam al-Sudaysi yang terkenal itu.
Subhanallah! Kami berasa kagum mendengar kisah tersebut. Begitu makbulnya ungkapan seorang ibu kepada anaknya walaupun dalam keadaan marah begitu. Lalu antara kami ada yang berkata, “Kalau begitu, kita sebut sahaja, ‘Wahai Menteri Besar!’.
Yang lain pula berkata, ‘Atau Wahai Tan Sri!’. Kami sama-sama tergelak. Iya, antara kita memang tahu ibu perlu mengawal kata-katanya kepada anak-anak dari perkataan yang tidak elok, namun kisah ini memberi iktibar bahawa ungkapan khusus atau spesifik begitu pun dimakbulkan Allah swt.
Pesan Bonda Mertua
Saya teringat tip ibu mertua. Mak (panggilan saya kepada mertua) bercerita, “Mak kalau marah macam mana pun dengan anak-anak, Mak bersungguh-sungguh sebut dalam hati, ‘Berjuruh[i]nya anak aku. Berjuruhnya anak aku’. Itu sahaja yang Mak ulang-ulang.”
Benar, saya lihat lima orang anak-anak Mak menjadi anak yang baik dan berjaya pula dalam kehidupan masing-masing.
Satu ujian besar buat para ibu untuk menuturkan kalimah berharga atau bernilai tinggi kepada anak-anak tatkala marah. Ia tidak mudah jika tidak disertai ilmu dan keimanan yang tinggi kepada Allah swt.
Selepas habis halaqah ilmu itu, petangnya terjadi sesuatu dengan anak kelima yang berusia 6 tahun. Lantas saya menyebut, ‘Ya Soleh!” Maksudnya “Wahai Anak Soleh!.” Namanya Aqil. Hari ini saya berasa pelik bila melihat Aqil begitu mudah membantu walaupun tidak disuruh. Tidak sebagaimana biasa, kalau saya meminta tolong, dia akan ikut ‘mood’. Jika mahu, Aqil akan menolong. Jika tidak mahu, Aqil akan diam atau beritahu dia letih dan meneruskan permainannya. Kemudian baru teringat apa yang saya seru dia semalam. Mungkin berkat ‘doa’ tersebut. Mengenangkan hal tersebut, hari ini saya ulangi lagi menyebut, “Aqil anak soleh”, sebaik melihat dia membantu bermacam-macam hal.
[i] Berjuruh dialek Kelantan bermaksud ‘Baik akhlaknya’.
Jangan Putus Asa Melatih Diri
Saya tetap bermujahadah untuk menuturkan kalimah yang baik-baik ketika marahkan anak. Ia bukan mudah kerana kita cuba melawan fitrah perasaan marah dengan kata-kata positif sedangkan secara umumnya, manusia lazimnya mudah berkata buruk ketika marah. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW memberi langkah-langkah tertentu ketika marah seperti duduk ketika sedang berdiri, baring jika sedang duduk, berwudu’, tidak membuat keputusan besar dan diam sahaja.[i]
Alhamdulillah, saya menyaksikan sendiri beberapa lagi ‘doa’ yang terlontar ketika marahkan anak itu diperkenankan Allah SWT. ‘Doa’ itu tidak semestinya terlafaz secara nyata sehingga ia didengari anak-anak, bahkan banyak situasi saya ‘merungut dengan doa-doa yang baik’ semasa berdiam diri dalam usaha meredakan perasaan marah. Pesanan arwah bonda mertua dan peristiwa ibu Imam al-Sudaysi cukup melekat di jiwa.
[i] Hadith 4782 dan 4784 Sunan Abi Dawud, hadith 1717 Sahih Muslim dan hadith 245 Al-Adab al-Mufrad.
Jabir r.a. melaporkan bahawa Rasullullah SAW berkata,
لا تَدْعُوا علَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا علَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا علَى أَمْوَالِكُمْ، لا تُوَافِقُوا مِنَ اللهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ، فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ.
“Janganlah kamu mendoakan yang tidak baik untuk diri kamu, anak-anak kamu dan harta kamu kerana boleh jadi doa kamu itu bertepatan dengan waktu yang mana waktu itu doa dikabulkan sehingga apa yang kamu mohonkan juga dikabulkan.“
Hadis sahih Imam Muslim.
Moga bermanfaat.
Ummu Abbas
Kota Bharu
Sumber: sayangIslam.com
IKUTTI TWITTER MYNEWSHUB DI SINI