SESIAPA sahaja boleh berkata apa sahaja tentang final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Berdasarkan “track record” pencapaian JDT jauh mendahului KL City FC, tetapi perlu diperakui penentuan terakhir adalah tentang aksi “best of the best”.
Benar rekod pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan JDT memenangi empat daripada lima pertembungan terakhir dalam aksi Liga Super.
Namun perlu diimbas kedua-dua pasukan memiliki rekod cemerlang tanpa kalah dalam 10 perlawanan sepanjang saingan Piala Malaysia.
Maka peluang sama ada JDT atau KL City FC menang masih ada dan tidak keterlaluan jika dikatakan JDT akan turun selaku “underdog” malam ini.
Pertama, KL City FC sudah pasti akan bermain bermati-matian seolah-olah tiada lagi hari esok untuk mereka demi dinobatkan sebagai “the giant killer”.
Ia bersesuaian dengan falsafah mana-mana pasukan dalam Malaysia andai dapat menewaskan JDT umpama telah memenangi ‘Piala Alam Semesta’.
Apatah lagi melibatkan pertembungan Final yang menjadi tumpuan ramai termasuk para pemerhati dan penganalisis sukan bola sepak dalam dan luar negara.
Kedua, para pemain KL City FC berkemungkinan besar akan menonjolkan keagresifan paling ketara demi mencapat matlamat.
Ini bakal memberi cabaran besar buat pemain JDT untuk mengimbangi antara permainan berkualiti dan jaminan keselamatan kaki mereka.
Ketiga, skuad The City Boys hampir pasti menerapkan permainan secara agresif dan “bas rosak” di hadapan gawang gol kerana itu sahaja peluang yang mereka ada.
Meskipun ia bermakna sebuah perlawanan yang agak membosankan tanpa elemen menerujakan para penonton bakal dipersembahkan.
Justeru, pemain JDT tiada punyai banyak pilihan selain kekal fokus kepada strategi perlawanan untuk berdepan obsesi tahap dewa KL City FC malam ini.
Meletakkan keyakinan tinggi terhadap percaturan Benjamin Mora pada tahap disiplin yang maksimum untuk memastikan konsistensi dan ketenangan.
Bijak mengendalikan provokasi agar peristiwa ‘tandukan padu maut’ tidak berulang kerana setiap posisi pemain adalah sangat berharga.
Jenama JDT sebagai lambang profesionalisme bola sepak Malaysia masih ramuan terbaik untuk Harimau Selatan terus berada di hadapan.