Berikut secara ringkasnya pandangan pelbagai mazhab mengenai hukum makan katak:
Mazhab Syafie:
Ulama mazhab Syafie berpendapat katak tidak harus dimakan kerana katak juga tergolong kategori khabaith, iaitu binatang yang kotor, keji, buruk dan tidak baik.
Pendapat mazhab Syafie ini memang selari dengan adat banyak bangsa di dunia ini termasuk orang Melayu tidak tergamak makan katak terutama katak puru.
Mazhab Hanafi:
Mazhab Hanafi berpendapat hanya ikan sahaja yang halal dimakan daripada semua jenis haiwan yang tinggal dalam air. Katak, kura-kura, anjing laut, buaya dan sebagainya haram dimakan.
Mazhab Maliki:
Mazhab Maliki berpendapat bahawa katak sama seperti udang, ketam, kura-kura dan sebagainya boleh dimakan. Mereka berpendapat begitu kerana tidak ada nas dan dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis yang mengharamkan makan katak.
Pun, diperhatikan orang bermazhab Maliki tidak makan katak, kura-kura dan sebagainya. Penduduk negara-negara Arab bermazhab Maliki lebih suka makan daging terutama biri-biri.
Sedangkan ikan, udang, ketam dan sebagainya bukan menjadi makanan kegemaran, kecuali yang tinggal di tepi laut.
Mazhab Hambali:
Para ulama mazhab Hambali pula berpendapat bahawa katak dan semua haiwan yang hidup di dua alam tidak halal dimakan kecuali jika ada jalan sembelihannya.
Bagaimanapun, dikecualikan jika haiwan yang hidup di dua alam itu tidak berdarah seperti ketam dan sesetengah serangga. Tetapi katak dan kura-kura yang tergolong daripada haiwan yang hidup di dua alam yang berdarah, macam mana boleh disembelih?
Katak yang tidak mempunyai leher dan kura-kura pula menyembunyikan lehernya dalam perisainya menyusahkan untuk disembelih. Apakah itu menjadi antara punca menyebabkan katak haram dimakan?
Haiwan yang hidup di dua alam yang lain seperti udang, ketam dan sebagainya walaupun tidak disembelih tetapi halal dimakan pada mazhab Hambali kerana tidak berdarah.
Begitulah kedudukan hukum makan katak dalam al-Quran, hadis dan fikah (ijtihad) para ulama pelbagai mazhab.
Sumber penulisan: http://bicaramentari.blogspot.com/