PUTRAJAYA : Kehadiran murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan kelas peralihan bagi Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pada 21 dan 22 Nov ini adalah mengikut kaedah penggiliran.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaedah penggiliran itu turut melibatkan kehadiran pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di lima negeri tersebut.
“Kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran.
Perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa dan penjaga,” menurut kenyataan itu.
Semalam, KPM memaklumkan pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian itu di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada 21 dan 22 Nov.
Di Kedah, pengoperasian itu bermula pada 21 Nov, manakala Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah adalah pada 22 Nov.
Institusi pendidikan di bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah kementerian itu bagi kategori sekolah dan kategori pusat.
Sementara itu, KPM berkata pihaknya sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka, sejak dibuka semula pada 3 Okt lepas.
Menurut kementerian itu pengoperasian sekolah didapati berjalan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
“Setelah mengambil kira dapatan ini serta situasi semasa pandemik COVID-19, KPM memutuskan kehadiran murid pada kali ini tidak dilaksanakan secara berperingkat namun mengekalkan kaedah penggiliran,” menurut kenyataan itu.
Pada 5 Nov lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa semalam (8 Nov).
-Awani