PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengadakan pertemuan dengan Ketua Jurulatih Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Brad Maloney berkenaan status kontraknya yang berakhir penghujung tahun ini.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, perbincangan berhubung perkara itu masih belum dapat diadakan berikutan Maloney masih berada dalam tempoh kuarantin sekembalinya dari Mongolia bagi aksi kelayakan Piala Asia B-23 tahun bulan lalu.
“Berkenaan kontrak Maloney, kita masih tak dapat jumpa sebab masih dalam kuarantin,” katanya pada Rabu.
Untuk rekod, Maloney mempamerkan pencapaian terbaik apabila mengemudi skuad B-22 negara mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 tahun depan setelah muncul Kumpulan J dalam aksi kelayakan di Mongolia bulan lalu.
Mengenai perkembangan semasa pegawai skuad B-23 yang positif COVID-19, Mohd Saifuddin berkata, keadaan pegawai berkenaan tidak berada dalam keadaan membimbangkan.
Malah katanya, kesemua pemain dan pegawai lain juga dalam keadaan baik di hotel tempat mereka dikuarantin.
“Setakat ini kesemua pemain sihat dan mereka tidak keluar dari bilik masing-masing. Mereka juga tidak bercampur bergaul dengan pemain-pemain lain sehingga tamat tempoh kuarantin kelak,” katanya.
-Awani