KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan (KPM) giat menjalankan pemutihan tanah bagi merungkai isu bangunan sekolah daif di seluruh negara.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya berdepan beberapa kekangan untuk membuat penyelenggaraan dan baik pulih bangunan daif di sekolah.
Jelasnya, ia antara lain meliputi faktor status tanah, logistik dan pengurusan kontraktor sehingga merencatkan usaha penyelenggaraan, meskipun peruntukan pembangunan sudah tersedia.
“Daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara, sebenarnya masih ada sekolah yang tanahnya bukan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).
“Sebaliknya, ada yang hak milik individu, diwakaf tanpa dokumen lengkap dan milik majlis tempatan, justeru kita buat pemutihan tanah.
“Dengan harapan, pada masa akan datang, proses perbaiki bangunan daif di sekolah tidak lagi mempunyai faktor kekangan berkaitan dengan status tanah,” katanya pada temu bual bersama Bernama TV, hari ini.
Radzi berkata, sesetengah bangunan daif di sekolah mempunyai masalah tapak yang mana ia berkaitan cerun dan lokasi berisiko.
Selain itu, katanya, lokasi sekolah yang jauh memberi cabaran logistik untuk membawa bahan binaan dan kemampuan kontraktor mengendalikan kerja penyelenggaraan.
“Dari segi kategori bangunan daif, kementerian menggunakan skala satu hingga tujuh, iaitu satu mencerminkan bangunan berkenaan sangat kondusif untuk pembelajaran manakala tujuh bermaksud tidak selamat.
“Mana-mana bangunan sekolah yang ditakrifkan dalam kategori tujuh, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengisytiharkan ia sebagai tidak selamat dan kerja pembaikan harus segera dilakukan.
“Justeru, semua cabaran ini harus ditangani demi mewujudkan persekitaran yang kondusif dan selamat untuk murid-murid belajar di sekolah,” katanya.
-Berita Harian