McDonald’s Malaysia telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM6.5 juta sejak lima tahun lepas, kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya Azmir Jaafar.
Azmir berkata restoran makanan segera yang beroperasi di Malaysia sejak 1982 itu mula membayar zakat perniagaan pada 2017 setelah diambil alih Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.
“Kita (McDonald’s Malaysia) sudah memasuki tahun kelima membayar zakat perniagaan. Untuk tahun ini, kita bayar zakat perniagaan sejumlah RM2 juta berbanding RM1 juta pada tahun lepas yang diagihkan kepada semua 14 negeri (agensi pungutan zakat) di Malaysia.
ADS
“Insya-Allah tahun akan datang kita harap perniagaan makanan segera terus berkembang dan akan terus tunaikan zakat dengan nilai lebih tinggi demi kebajikan asnaf,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan McDonald’s Malaysia Peringkat Nasional 2021, di Putrajaya semalam.
Majlis penyampaian zakat perniagaan kepada 14 agensi pungutan zakat seluruh negara itu disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Menyifatkan pembayaran zakat perniagaan tahun ini sebagai jumlah terbesar, Azmir berkata ia selaras dengan pengiktirafan McDonald’s Malaysia sebagai entiti perniagaan pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
McDonald’s Malaysia turut menerima pengiktirafan sama daripada Lembaga Zakat Selangor, katanya.
Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata pembayaran zakat perniagaan adalah tanggungjawab setiap syarikat atau individu yang menjalankan perniagaan dengan status Pensijilan Halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ini juga tanggungjawab yang dituntut di dalam Islam. Sudah pasti jumlah zakat perniagaan seumpama ini dapat membantu golongan asnaf lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19,” katanya.
“McDonald’s Malaysia menjadi syarikat francais pertama yang bayar zakat perniagaan kepada setiap agensi pungutan zakat di 14 negeri. Ini dapat pastikan asnaf tidak terpinggir,” katanya.
– Bernama