MELAKA: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mohon maaf berhubung tindakannya menggunakan perkataan ‘lahabau’ dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Nie Ching mengakui kesilapannya apabila tanpa memahami maksud sebenar di sebalik perkataan tersebut.
“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.
“Saya berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuat naik bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka.
“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Nie Ching memuat naik poster kempen dalam media sosialnya iaitu ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’.
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘lahabau’ adalah kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.
Menurut Nie Ching lagi, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan termasuk dirinya sendiri.
“Akibatnya terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial. Saya cuma ingin berkempen melalui “frame” percuma yang boleh didapati di dalam facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” kata beliau.
Jelas beliau, hampir semua kempen untuk PRN Melaka terpaksa dilaksanakan melalui media sosial ekoran larangan ketat berkempen.
Tambahnya, ramai petugas Pakatan Harapan khususnya DAP hampir tidak cukup tidur di dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen di sebalik keghairahan kempen media sosial ini.
UtusanOnline-