IPOH: Pas tetap berpendiran tegas membantah pengeluaran arak tempatan jenama Timah meskipun Kabinet membenarkan penggunaan nama itu di pasaran.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, pendirian parti itu adalah jelas dan konsisten berkaitan minuman keras walau apa jenama sekali pun.
“Dalam hal ini, pendirian Pas mengenai arak adalah jelas. Kita tidak setuju dari awal atas apa nama pun, tidak kira Timah, Dollah atau Wahab.
“Malah, tiada juga dalam kalangan pimpinan parti yang menyokong isu arak Timah ini. Pendirian kita jelas, sedangkan pesta arak pun kita lawan,” katanya.
Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Perak di Kampung Seri Aman, Menglembu, di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, kerajaan membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corporation (M) Sdn. Bhd. terus menggunakan jenama Timah di pasaran.
Bagaimanapun, syarikat itu dikehendaki memasukkan label tambahan pada botol wiski bagi menjelaskan bahawa nama itu sebenarnya merujuk kepada bijih timah seperti yang diusulkan oleh mereka.
Isu jenama arak tersebut menjadi kontroversi berikutan namanya dilihat berkait dengan nama orang Melayu dan Islam, iaitu ‘Fatimah’ selain imej lelaki yang dipaparkan di atas botol arak seperti menggambarkan seorang lelaki Islam kerana berjanggut dan memakai kopiah.
Bagaimanapun syarikat pengeluar menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa nama Timah itu merujuk kepada bijih timah dan lelaki yang dipaparkan pula adalah Kapten Tristram Speedy, seorang penjelajah British abad ke-19.
UtusanOnline-