Washington: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berdepan tuduhan membunuh selepas menembak saudaranya ketika membuat penggambaran video untuk media sosial.
Kejadian berlaku dalam satu perhimpunan keluarga di Brooklyn Park, Minnesota apabila dia tidak sengaja menembak mangsa berusia lima tahun, lapor WHSV3.
Sebaik ditembak, ahli keluarga cuba menyelamatkan mangsa, tetapi dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis berkata, ketika kejadian terdapat orang dewasa di rumah itu dan pihaknya masih menyiasat bagaimana remaja itu menggunakan senapang.
“Siasatan awal mendedahkan empat atau lima remaja menemui senapang di rumah, mula menggunakan senapang itu di dalam garaj untuk rakaman video di media sosial.
“Ini adalah kejadian yang sangat malang yang memerlukan penyiasatan terperinci,” kata Timbalan Ketua Polis Mark Bruley.
Polis berkata, remaja berusia 13 tahun itu ditahan dan boleh dituduh membunuh.
Sementara pemilik senjata itu juga boleh berdepan tuduhan jenayah sementara menunggu hasil siasatan.
“Simpan senapang mereka dan peluru secara berasingan! Sebagai orang dewasa, menjadi kewajipan kita memastikan mereka tidak mempunyai akses (kepada senjata api),” kata Bruley.
-Kosmo Online