SELEPAS lebih tujuh dekad melakukan kerja-kerja ekskavasi dan pembersihan, Mesir akhirnya membuka kepada orang ramai kawasan yang dipenuhi ‘sphinx’ yang rata-ratanya berusia 3,000 tahun.
Bertempat di bandar Luxor di selatan negara itu, majlis pembukaan lokasi bersejarah itu disambut dengan hebat selepas kerja-kerja yang memakan masa lebih 70 tahun itu akhirnya selesai.
Pembukaan itu juga adalah sebahagian daripada usaha memikat pelancong datang ke negara itu selepas sektor pelancongan terjejas teruk akibat COVID-19, lapor ABC News.
Mesir menganjurkan acara mewah untuk meraikan pembukaan Avenue of Sphinxes, sebuah bangunan purba sepanjang 1.7 batu yang merupakan laluan pejalan kaki, menghubungkan Kuil Karnak dengan Kuil Luxor.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Abdel-Fattah el-Sisi dan isterinya.
Pegawai berkata acara itu bertujuan untuk memperkenalkan Luxor, sebuah bandar yang kaya dengan monumen yang pernah menjadi ibu kota Mesir, kemudian dipanggil Thebes, sebagai “muzium terbuka terbesar di dunia.”
Ia merupakan acara kedua seumpamanya dalam tempoh enam bulan selepas “perarakan diraja” yang diadakan Mesir pada April, upacara mengarak 22 mumia melalui jalan-jalan di Kaherah untuk menghantar mumia itu ke muzium yang baru dirasmikan.
Jejak pertama Avenue of Sphinxes ditemui pada tahun 1949 apabila ahli arkeologi Mesir Mohammed Zakaria Ghoneim menemui lapan patung berhampiran Kuil Luxor.
Patung-patung lain yang mengapit jalan telah ditemui dalam dekad berikutnya, dengan kerja-kerja penggalian tergendala untuk selang masa yang lama ketika Mesir berperang beberapa kali.
Laluan itu pada asalnya mempunyai 1,057 patung, satu pertiga daripadanya telah digali dengan selebihnya masih berkaki, kata menteri antik Khaled el-Anani.
“Kami belum selesai — kami masih berusaha untuk mendedahkan lebih banyak (penemuan ekskavasi),” tambahnya.
Awani-