Kuala Lumpur: Hanya kerana menghidap kanser seorang pemain yang juga tonggak bagi sebuah pasukan Liga Malaysia (Liga M) berhadapan tindakan pemotongan gaji 50 peratus.
Situasi terbabit didedahkan Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman intagramnya apabila melihat situasi berkenaan tidak berperikemanusiaan ketika pemain itu berusaha melawan penyakit terbabit.
“Orang tu kena kanser, selepas dah berhempas pulas bersusah payah untuk awak, takkan lah oleh kerana Kanser awak nak potong gaji dia 50 peratus? Macam ni ke jaga orang?
“Mana tak ramai (pemain) angkat kaki, dalam media sosial jer nampak hebat, dalam rumah sendiri hancur. Syarat pertama untuk berjaya adalah ‘sikap kemanusiaan’,” katanya.
Menerusi pendedahan itu, Tunku Ismail tidak mendedahkan pemain dan pasukan berkenaan namun rata-rata netizen sudah dapat menghidu atau mengetahui individu yang dimaksudkan beliau itu.
IKUTTI TWITTER MYNEWSHUB DI SINI
Mengikut rekod, seperti yang diketahui umum tonggak Harimau Malaya yang juga pemain Selangor FC Brendan Gan disahkan menghadapi kanser testis sekali gus diketepikan untuk tempoh yang panjang pada kancah Liga M musim ini.
Bekas pemain Perak dan Kelantan itu sudah menjalani pembedahan dan kini langkah seterusnya adalah untuk mengharungi proses pemulihan.
Selain itu, Tunku Ismail turut membidas kritikan atau komen daripada segelintir pihak yang melihat pendedahan itu kononnya bahawa ‘TMJ Dengki’.
Beliau berkata, situasi berkenaan ‘terbongkar’ berikutan mangsa sendiri tampil mengadu kepadanya berkaitan masalah terbabit.
“Nak tutup pekung sendiri suruh kroni-kroni buat cerita kononnya TMJ Dengki. Sedangkan diri sendiri tak betul. Yang datang mengadu bukan orang lain.
“Mangsa sendiri datang mengadu. Lain kali jaga semua orang yang kerja dengan kita dengan adil. Bukan pilih kasih.
“Kalau tak boleh buat kerja dengan betul letak jawatan, jangan menyusahkan orang. Lagi orang yang berkorban untuk kita. ‘Sikap kemanusiaan’,” katanya. – Harian Metro