SKUAD projek khas lelaki negara akan memberikan tumpuan penuh terhadap aspek bertahan dalam situasi pukulan sudut penalti menjelang aksi pembukaan Piala Dunia Hoki Remaja menentang Chile di Bhubaneswar, India malam esok.
Jurulatih penjaga gol, Roslan Jamaluddin menjelaskan, beliau akan memastikan Che Shahrul Azmi Che Saupi dan Muhammad Hamiz Mohd. Ahir dalam keadaan bersedia untuk aksi pertama Kumpulan A di Stadium Kalinga itu.
“Sekarang kami dalam fasa terakhir untuk Piala Dunia Hoki Remaja. Apa yang saya lakukan untuk penjaga gol supaya mereka bersedia untuk kejohanan ini.
“Segala latihan dan drill penjaga gol lebih kepada situasi perlawanan, jadi fokus sekarang terarah kepada aspek bertahan pukulan sudut penalti.
“Saya juga kena pastikan penjaga gol kita sentiasa bersedia dalam apa jua situasi perlawanan,” katanya.
Dua penjaga gol skuad projek khas itu ketika ini dilihat berada pada tahap terbaik selepas berjaya membantu Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 dengan Argentina dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Tugas penjaga gol amat penting kerana ia merupakan benteng terakhir pasukan dalam misi melayakkan skuad negara ke peringkat suku akhir dalam saingan Kumpulan A yang turut dihuni Chile, Afrika Selatan dan naib juara edisi 2018, Belgium.
Selepas bertemu Chile, anak-anak buah Wallace Tan itu akan meneruskan aksi kedua menentang Belgium pada 26 November diikuti Afrika Selatan sehari kemudian.
-Kosmo Online