KUALA LUMPUR : Seramai 346 pegawai dan anggota polis adalah antara 804 penjawat awam yang ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah, sepanjang tahun ini.
Secara keseluruhan, 340 kakitangan awam, 104 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 14 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dikesan atas kesalahan sama.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata trend pembabitan pegawai dan anggota PDRM dalam kesalahan dadah didapati menurun berbanding statistik sejak 2016.
“Terdapat penurunan pembabitan pegawai dan anggota polis dalam kes dadah iaitu pada 2016, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengesan 427 kes; 2017 dengan 451 kes; 2018 dengan 399 kes; 2019 dengan 566 kes dan 2020 dengan 408 kes.
“Berdasarkan statistik sejak 2016, secara keseluruhan 6,671 penjawat awam ditahan kerana kesalahan dadah,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
Razarudin berkata, JSJN bersama Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) turut melakukan pemeriksaan mengejut termasuk ujian air kencing terhadap semua pegawai dan anggotanya.
“Masalah ini masih di tahap terkawal kerana kita sentiasa menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas anggota dan pegawai polis.
“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan sebarang kes jenayah terutama membabitkan dadah tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
-Berita Harian