Berikut empat perkara menarik berkaitan penghakiman kes SRC membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN) di Mahkamah Rayuan:
1) Semalam hakim Mahkamah Rayuan mempamerkan emosi tidak puas hati terhadap DSN kerana DSN tidak dapat hadir ke mahkamah akibat menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.
Hakim: Najib menjadi kontak kasual, mudah memberi alasan, tetapi mahkamah memerlukan bukti. Kontak rapat ada dua kategori gejala. Paling penting hadir ke mahkamah. Semua orang telah terdedah (kontak rapat). Ini adalah mahkamah undang-undang, bukan air liur.
Hakim: Mana Najib? Kamu tahu kenapa Najib tak datang ke mahkamah, tangggungjawab sebagai penjamin adalah berat. Kamu kena menentukan kehadiran dia. Adakah kamu mengambil tahu kenapa Najib tidak hadir?
Sebagai penjamin kamu kena mengambil tahu, kami boleh membatalkan jaminan jika kami tidak berpuas hati dan waran tangkap boleh dikeluarkan untuk menangkap Najib. Mana Najib?
Penjamin: Datuk Seri ada di Pavillion.
Hakim: Pavillion? Pavillion itu rumah dia? Awak telefon dia tanya ke atau awak tembak sahaja? Jangan main tembak, main agak sahaja, ini mahkamah bukan kedai kopi.
2) Semalam hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan peguam bela memasukkan bukti baharu. Hakim kata Najib gagal tunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima mahkamah.
Bukti baharu itu termasuk mengenai pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dengan Jho Low atau Low Taek Jho.
Ia susulan pendedahan SPRM baru-baru ini Singapura memulangkan AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq Ayman – suami kepada Zeti. DSN kata itu adalah bukti yang disorokkan daripada beliau selama ini.
3) Hari ini hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan DSN dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM120 juta ke atas DSN dan sempat menyatakan Najib telah memalukan negara.
4) Ketua pasukan pembelaan DSN, Muhammad Shafee Abdullah kecewa dengan kenyataan hakim itu kerana keseluruhan sabitan dan hukuman telah ditangguhkan ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Kenyataan itu boleh menjejaskan persepsi DSN.
-Mynewshub
BACA – Tiga Hakim Mahkamah Rayuan Sepakat Tolak Rayuan Najib
IKUTI TWITTER MYNEWSHUB DI SINI