KUCHING – Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis mengumumkan barisan kabinet baharu Sarawak terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda.
Abang Johari memegang tiga portfolio iaitu Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli serta Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.
Beliau juga menamakan tiga timbalan ketua menteri terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; ADUN Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan ADUN Batu Kawah, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Uggah juga dilantik sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu sementara Awang Tengah pula selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan serta Menteri Kedua Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli.
Sementara itu, Dr Sim yang merupakan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dilantik sebagai Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Pelantikan lain ialah ADUN Kakus, Datuk John Sikie Tayai (Menteri di Jabatan Ketua Menteri); ADUN Kemena, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah); ADUN Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin (Menteri Pengangkutan) dan ADUN Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi (Menteri Utiliti dan Telekomunikasi).
Sementara itu, ADUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memegang dua portfolio iaitu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Menteri wanita tunggal dalam kabinet kali ini, ADUN Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah menggalas portfolio Pembangunan Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat sementara ADUN Talat, Datuk Roland Sagah Wee Inn sebagai Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.
-Sinar Harian