JOHANNESBURG: Afrika Selatan mengambil keputusan untuk menamatkan usaha pengesanan kontak rapat individu yang dijangkiti COVID-19, kerana percaya sebahagian besar populasinya sudah terdedah kepada virus itu.
Ketua Jabatan Kesihatan Afrika Selatan, Sandile Buthelezi dalam satu pekeliling kepada pegawai wilayah, kelmarin, berkata kerajaan kini beralih kepada fokus strategi mitigasi yang antara lain menekankan pemantauan kendiri, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Beliau berkata, jumlah penduduk yang memiliki imuniti daripada jangkitan dan/atau vaksinasi, adalah tinggi.
“Strategi pembendungan sudah tidak lagi sesuai, sebaliknya mitigasi adalah satu-satunya strategi lebih berdaya maju, khususnya membabitkan varian baharu yang lebih mudah berjangkit seperti Omicron.
“Sehubungan itu, semua aktiviti pengesanan kontak akan dihentikan, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Namun, menurut pekeliling itu, pengecualian akan dibuat bagi kes membabitkan tempat tertutup seperti penjara serta sekolah, dan untuk kluster yang serius.
Sehubungan itu, individu yang menjadi kontak rapat digesa memantau kesihatan diri dan menjalani saringan sekiranya bergejala.
Jika tidak bergejala, mereka harus mengelak daripada pergi ke kawasan sesak, memastikan diri memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal untuk tempoh lima hingga tujuh hari.
Sekiranya bergejala dan keputusan saringan adalah positif, mereka perlu mengasingkan diri selama 10 hari sebelum kembali menjalani aktiviti normal tanpa perlu melalui ujian susulan jika sudah sembuh.
Afrika Selatan secara rasminya muncul negara Afrika paling terkesan dengan COVID-19, apabila mencatat hampir 3.4 juta kes positif dan lebih 90,000 kematian daripada keseluruhan populasi berjumlah 59 juta.
BHonline-