TUMPAT : Limpahan air dari Sungai Kelantan sejak malam tadi yang mencecah paras 0.7 meter menyebabkan jeti Kok Majid di sini, hampir ditenggelami air.
Dalam tempoh beberapa jam, air juga semakin menghampiri jalan utama dan dijangka menjejaskan beberapa kedai makan serta rumah penduduk kawasan sekitar jika kenaikan berlaku berterusan.
Peniaga kedai makan, Che Hani Harun, 64, berkata air sudah mencecah ke jalan utama pada awal pagi tadi namun beberapa jam selepas itu kembali surut.
Katanya, berdasarkan cuaca yang masih mendung, dia sedar perlu membuat persediaan lebih awal.
“Lazimnya jika kenaikan masih berlaku, air akan memenuhi kawasan kedai makan saya sehingga paras 0.3 meter dan pelanggan tetap makan serta minum tanpa berasa bimbang.
“Cuma dari segi persediaan, semua barangan untuk jualan akan diletakkan di tempat tinggi, terutama peralatan elektrik serta dapur memasak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tinjauan di jeti itu mendapati urusan harian masih berlaku seperti biasa namun beberapa peniaga termasuk pemilik gerai yang dilihat sentiasa bersedia mengemas jualan mereka sekiranya berlaku peningkatan air berterusan.
Seorang penduduk Kampung Pulau Beluru, Rosdi Razali, 38, berkata limpahan air sungai berlaku disebabkan aliran dari kawasan hulu akibat hujan ditambah dengan kejadian air pasang.
Katanya, walaupun sudah biasa dengan kejadian sebegitu, ia juga menjejaskan pergerakan hampir 10,000 penduduk di lebih 10 kampung di delta Sungai Kelantan yang menjadikan sungai sebagai laluan utama.
“Saya difahamkan Kampung Pulau Suri sudah dinaiki air namun kami tidak pernah berpindah, cuma perlu menyediakan bekalan makanan secukupnya kerana tidak dapat dipastikan sejauh mana situasi banjir kali ini,” katanya.
Seorang pemandu bot penambang, Mat Rani Hamid, 51, berkata rutin hariannya mengemudi bot tetap diteruskan meskipun berdepan risiko arus sungai yang kuat dan air pasang.
Dia yang sudah lebih 20 tahun membawa bot penambang berkata, di musim tengkujuh, penduduk jarang keluar rumah dan pergerakan antara kampung di pinggir Sungai Kelantan dengan tanah besar kurang berlaku.
–Berita Harian