PHNOM PENH : Parti politik yang mentadbir kerajaan Kemboja, Parti Rakyat Kemboja, sekian lama menyokong anak sulung Perdana Menteri Hun Sen sebagai bakal perdana menteri.
Bagaimanapun, parti itu tidak memperincikan tempoh masa untuk menggantikan Hun Sen, yang berkuasa selama 36 tahun.
Berdasarkan kenyataan Parti Rakyat Kemboja, jawatankuasa pusat sebulat suara menyokong Hun Manet, 44 sebagai calon bakal perdana menteri.
Hun Sen selaku salah seorang pemimpin paling lama mentadbir pada awal bulan ini berkata beliau akan menyokong anak lelakinya sebagai pengganti tetapi tidak menyatakan bila akan bersara.
Kemboja hanya mempunyai satu parti kerajaan sejak pilihan raya 2018, selepas parti pembangkang utama dibubarkan dan tindakan keras dikenakan terhadap orang awam serta media.
Pejabat Hun Sen tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas semalam.
Hun Sen juga tidak memperjelaskan sama ada beliau akan menjadi calon pilihan raya pada 2023.
Hun Manet kini adalah timbalan komander Tentera Diraja Kemboja dan ketua kakitangan bersama, yang juga lulusan Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di West Point pada 1999.
-Berita Harian