Syed Saddiq dan Abang Viva antara individu popular di media sosial berhubung kerja-kerja membantu mangsa banjir.
Namun perbezaan ketara antara Syed Saddiq dan Abang Viva dalam perihal banjir agak menarik untuk kita perhatikan.
Perbezaan pertama adalah Syed Saddiq popular kerana beliau mempopularkan dirinya sendiri di media sosial.
Ahli Parlimen Muar dan bekas ketua pemuda Bersatu itu membuat banyak hantaran dan gambar tentang dirinya turun membantu.
Serba serbi diwar-warkan ke seantero Malaya termasuk mengumumkan berapa banyak sumbangan diberi kepada mangsa banjir.
Videonya sedang menyodok selut sambil acah-acah disapa orang turut ditularkan. Kemudian tertera hastag nama parti politik barunya.
Abang Viva pula popular kerana orang ramai yang mempopularkan pemuda dari Melaka itu. Orang ramai menyedari kehadirannya secara organik.
Abang Viva disanjungi selepas rakyat Malaysia dapat tahu Abang Viva turun ke lokasi banjir secara solo tanpa tajaan.
Membawa bot kecil yang diikat pada bumbung sebuah kereta kecil jenis Perodua Viva dan hanya berbekalkan RM50 dalam kocek.
Abang Viva segan apabila orang ramai mahu mengambil gambar atau video dirinya sedang membantu mangsa banjir.
Abang Viva cuba mengelak daripada ditemuramah wartawan, tetapi akur jua selepas jadi buruan pemberita apabila kisahnya tersebar.
Perbezaan kedua, Abang Viva memandu sendiri bot yang dibawanya untuk menyelamatkan nyawa mangsa banjir yang terperangkap.
Abang Viva tiada masa untuk merakam video atau gambarnya sendiri (selfie) sedang selamatkan nyawa mangsa banjir.
Sebaliknya mangsa banjir yang rakam video dan gambar Abang Viva lalu dikongsikan di media sosial untuk pengetahuan orang ramai.
Berbanding Syed Saddiq mungkin ada orang di sekelilingnya (orang-orangnya sendiri) pada setiap masa untuk merakam video dan gambarnya.
Sama seperti Menteri Kewangan, Tengku Zafrul yang ada segerombolan jurugambar di lokasi banjir.
Dalam keadaan itu Syed Saddiq dan Tengku Zafrul lebih bertuah berbanding Abang Viva kerana ada banyak gambar untuk dikongsikan.
Tetapi aku yakin Abang Viva jika diberi 20 jurugambar pun pasti dia menolak. Bukan kerana sombong.
Sebaliknya akan menyusahkan dan melembabkan niat dan hasratnya yang satu iaitu membantu mangsa banjir.
Selepas sudah setel segalanya tiba-tiba jadi popular itu rezeki Allah S.W.T. Lebih ‘best’ jadi popular berbanding populis.
Perbezaan ketiga adalah Syed Saddiq Ahli Politik yang tampak bro, manakala Abang Viva bro sejati. Yang penting fahami bawah ini.
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah S.W.T melihat kepada hati dan amalan kamu”
-Mynewshub