PUTRAJAYA: Kejayaan Malaysia dalam pengurusan isu pengawalan wabak Covid-19 lebih setahun lalu menerima pujian Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken.
Beliau yang dalam rangka kerja lawatan rasmi ke negara ini malah mengakui, usaha gigih Malaysia membolehkan ia menyumbang pula vaksin kepada negara lain yang lebih terdesak.
“Pencapaian ini sangat dihargai dan membuktikan kepemimpinan sebenar Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar bersama-sama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, di sini hari ini.
Beliau tiba di negara ini pada lewat malam tadi selepas singgah di Jakarta, Indonesia kelmarin sebelum dijadualkan bertolak pula ke negara jiran ini, Thailand untuk lawatan rasmi esok.
Kunjungan julung kali pemimpin ketiga paling berkuasa di AS selepas Presiden dan Naib Presiden itu melawat tiga negara rantau Asia Tenggara turut mendapat perhatian luas dunia.
Kali terakhir penyandang jawatan itu melawat negara ini ialah pada 2018 lalu oleh Michael Pompeo, namun tiada sesi kunjungan hormat ke atas mana-mana tokoh Pakatan Harapan.
Mengulas lanjut, Blinken turut mengulangi komitmen AS dalam menangani cabaran pandemik terutama agihan stok imunisasi di bawah skim Akses Global Vaksin Covid-19 atau Covax.
“Malah untuk tahun 2022 kelak, AS menyasarkan menyumbang lagi sejumlah 1.2 bilion vaksin ke seluruh dunia bagi merapatkan jurang bekalan khasnya di negara yang miskin,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga memberi jaminan sedia membantu Malaysia dalam pengilangan vaksin menerusi perjanjian kerjasama pelaburan dengan syarikat farmaseutikal AS sendiri.
Bagaimanapun ujarnya, cabaran terbesar ketika ini ialah isu logistik kerana banyak bekalan vaksin gagal dihantar ke destinasi ditetapkan sehingga berlaku isu lonjakan varian baharu.
Justeru, beliau berharap agensi antarabangsa dapat menjalinkan koordinasi pengagihan menerusi Covax bagi menyegerakan penghantaran dan mempercepatkan pemulihan sejagat.
Menyentuh isu pergolakan politik Myanmar, Blinken mengulangi sokongan terhadap inisiatif ASEAN melalui Permuafakatan Lima Perkara bagi menekan junta agar menamatkan krisis.
Justeru, katanya, tidak timbul dakwaan konon AS tidak bertindak tegas atau berlembut dengan pihak junta, bahkan beliau sependapat dengan Saifuddin agar ASEAN bersedia pelan lain.
“AS sokong segala inisiatif ASEAN dan bersetuju supaya tidak terlalu terikat dengan hanya satu cara kerana jika tidak berjaya pelan A, mesti ada B dan C sebagai alternatif,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat pemimpin ASEAN sendiri dapat menentukan hala tuju rantau ini dengan lebih baik kerana mereka lebih faham situasi geopolitik yang diperlukan.
UtusanOnline-