PETALING JAYA: Dua individu diburu polis selepas disyaki terlibat dalam kes curi sebuah kenderaan di pusat servis kenderaan di Sungai Penchala, Off Jalan Damansara, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.59 pagi itu, sebuah kenderaan jenis Ford Ranger berwarna hitam yang diletakkan dalam bengkel berkenaan dikatakan hilang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati, kali terakhir kenderaan pacuan empat roda yang dimiliki oleh seorang pelanggan itu adalah pada Selasa lalu dan berada dalam keadaan baik.
Kata beliau, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, dua suspek lelaki dan perempuan telah datang dengan menaiki sebuah kereta jenis BMW disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum kenderaan tersebut hilang.
“Kenderaan pacuan empat roda yang hilang tersebut didaftarkan atas nama seorang pelanggan lelaki berumur 60 tahun yang menghantar kenderaan miliknya ke pusat servis berkenaan pada 22 Disember lalu untuk pemeriksaan pintu. Nilai kerugian kehilangan pacuan empat roda itu dianggarkan lebih kurang RM150,000 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta,” jelasnya.
UtusanOnline-