JOHOR BAHRU: Selepas enam tahun berusaha, impian seorang warga emas untuk bergelar doktor falsafah akhirnya tercapai, pada usia 70 tahun.
Abdul Rahim Ramli yang melanjutkan pengajian dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah, berkata gelaran itu diidam-idamkannya sejak dahulu dan beliau menanam azam untuk berusaha mencapai impiannya itu selagi kesihatan masih baik.
Bekas pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari 2006 hingga 2019 itu berkata, beliau terdorong untuk menyambung pengajian selepas melihat rakan-rakan pensyarah lain telah pun mempunyai gelaran doktor dan profesor.
“Semasa menjadi pensyarah sambilan, sekeliling saya adalah doktor dan profesor dan saya tersedar bahawa saya perlu berusaha untuk merasai sendiri gelaran itu.
“Tanpa disedari selama enam tahun saya melanjutkan pengajian sepenuh masa, akhirnya sampai juga ke tahap ini,” kata bekas penjawat awam itu kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-64 (MK64), di sini hari ini.
Bapa kepada tiga cahaya mata dan datuk kepada 10 orang cucu itu berkata dia bersyukur kerana tidak menghadapi kesukaran sepanjang tempoh pengajian, terutama dalam menyiapkan kajiannya mengenai penglibatan anggota komuniti dalam pembangunan karbon rendah.
“Saya dapat sokongan yang baik daripada anak-anak dan isteri yang sentiasa menemani saya dan rakan-rakan.. syukur tiada kesukaran,” katanya yang juga anak jati Pontian.
Abdul Rahim turut menasihati golongan muda agar sentiasa mencabar diri untuk menyambung pengajian dan tidak mensia-siakan waktu mereka.
“Orang muda perlu belajar dan jangan lepas peluang, jangan leka dengan hiburan, gaji besar dan sebagainya, sehingga kurang minat menuntut ilmu.
“Pandemik COVID-19 ini tidak boleh dijangka, jadi mereka perlu buat persediaan awal kerana kita tidak tahu apa lagi dugaan yang kita akan hadapi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, dua beradik Dr Sarah Atifah Saruchi, 32, dan Dr Sarah Athirah Saruchi, 30, gembira kerana berjaya meraih Ijazah Doktor Falsafah pada masa yang sama selepas tiga tahun pengajian sepenuh masa.
Sarah Atifah yang mendalami bidang kejuruteraan berkata beliau dan adiknya Sarah Athirah (perbankan Islam) saling memahami sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih seronok apabila mereka sering bersama.
“Kalau boleh bagi analogi, kami berdua ini umpama pemain badminton beregu, turun ke gelanggang bersama-sama menangkis segala kesukaran yang datang dan jurulatih kami adalah pensyarah dan ibu bapa, manakala kawan-kawan pula adalah penonton,” katanya.
MK64 UTM melibatkan seramai 8,956 graduan iaitu Ijazah Doktor Falsafah (748), Ijazah Sarjana (1,915), Ijazah Sarjana Muda (4,326) dan Diploma (1,967).
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang merupakan Canselor UTM turut berkenan berangkat merasmikan upacara tersebut.
Bernama-