GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo yang dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 0.7 batu nautika barat Bagan Ajam, dekat sini semalam.
Kapal kargo ‘MV KONG’ sepanjang 59.97 meter yang didaftarkan di Sierra Leone itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan sembilan kru dan nakhoda terdiri tiga warga Indonesia serta enam warga Iran berusia antara 34 hingga 47 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Kapal dan kru tersebut kemudiannya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, jika disabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
UtusanOnline-