HULU LANGAT : Kerajaan bimbang risiko simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rakyat pada masa depan terkesan jika membenarkan lebih banyak pengeluaran dilakukan walaupun untuk mangsa banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun ramai mangsa terkesan dengan banjir ketika ini, namun rakyat berisiko menjadi miskin tegar ketika dunia persaraan kelak.
Katanya, kerajaan sudah mengumumkan bantuan dan dana mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara serta sedia menambah peruntukan pada masa akan datang.
Beliau memberikan salah satu contoh pinjaman tanpa faedah oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) seperti diumumkannya semalam.
“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, Tekun menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.
“Bagi yang mahu beli barang keperluan rumah, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beri pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah dan moratorium selama enam bulan.
“Kerajaan sudah sediakan kemudahan ini. Jika apa yang disediakan ini digunakan, Insya-Allah boleh membantu mangsa banjir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan akan mempertimbang cadangan supaya proses permohonan bantuan pasca banjir dilakukan secara dalam talian.
Katanya, cadangan tersebut dilihat akan mepermudah urusan mangsa banjir berbanding kaedah dilakukan sekarang.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meletakkan insinerator bergerak atau mudah alih di kawasan banjir bagi melupuskan sampah-sarap.
Katanya, alat itu akan diperbanyak di kawasan banjir berbanding kini berada di Bukit Changgang, Banting.
-Utusan Online