WASHINGTON – Seorang lelaki yang menggelar dirinya pakar makhluk asing mendakwa berjaya mengesan sebuah objek misteri seperti cakera di dalam sebuah rekahan ais berbentuk hati di Benua Antartika, menggunakan aplikasi Google Maps, lapor akhbar Daily Star semalam.
Scott C Waring melihat objek ganjil tersebut semasa melayari laman pemetaan, Google Maps baru-baru ini.
Dia berkongsi imej tersebut di saluran YouTube miliknya. Imej itu memaparkan rekahan besar pada permukaan ais di rantau Kutub Selatan itu bersama sebuah cakera hijau besar berukuran lebar sekitar 40 meter.
Menurutnya, objek tersebut adalah kapal angkasa makhluk asing yang terhempas, manakala rekahan ais itu adalah impak insiden tersebut.
“Saya membayangkan selepas video ini dikongsikan, akan ada mana-mana kerajaan yang pergi ke situ dan menyiasat kejadian tersebut.
“Cakera itu berada di dalam rekahan ais berbentuk hati. Ia membuatkan saya berfikir, adakah makhluk asing sengaja melakukan demikian?,” katanya.
Tambah Waring, kawasan itu merupakan lokasi terbaik untuk pendaratan objek terbang tidak dikenali (UFO) kerana tiada sesiapa akan menyedarinya memandangkan ia terletak jauh di Antartika.
“Tiada sesiapa akan melalui kawasan itu, berlayar atau mendaki mendekatinya. Ia merupakan lokasi terbaik untuk UFO bersembunyi.
“Fenomena ini menjadi bukti bahawa makhluk asing wujud dan berada di Bumi. Jadi, pemburuan (makhluk asing) kini bermula,” ujarnya.
K!Online-