Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh tidak kesal dengan tindakannya memakai tudung semasa melawat sebuah masjid baru-baru ini selepas rakan partinya Boo Cheng Hau melancarkan serangan terhadapnya, dengan mendakwa dia cuba “memenangi hati orang Melayu”.
Yeoh yang beragama Kristian berkata, tindakannya memakai tudung di kawasan masjid tidak mengubah kepercayaan agama yang dianutinya.
“Memakai selendang (tudung) ketika mengunjungi masjid tidak mengubah bangsa saya dan kepercayaan saya.
“Kasihilah jiran anda seperti anda mengasihi diri sendiri. Perlakukan orang lain seperti yang anda mahu mereka perlakukan kepada anda. Amin,” kata Yeoh dalam catatannya di Twitter.
DAP sejak beberapa tahun yang lalu menyaksikan berlaku pergeseran antara puak progresif dan konservatif dalam parti itu.
Kumpulan progresif yang direstui oleh pucuk pimpinan mahu melihat kepelbagaian dalam DAP.
Manakala puak konservatif, yang kebanyakannya terdiri daripada pemimpin akar umbi, mahu mengekalkan status quo dalam parti itu.
Antaranya ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu yang sebelum ini berkata DAP tidak sepatutnya “mencairkan kecinaanya”.
Yeoh dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua adalah antara pemimpin yang mengkritik Liu berhubung kenyataan tersebut.
Liu tewas pada pemilihan DAP Selangor pada 14 Nov lalu.
Boo, yang merupakan bekas pengerusi DAP Johor, mengkritik Yeoh dalam kumpulan whatsapp pemimpin DAP.
“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.
“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?” sindirnya yang juga bekas pengerusi DAP Johor.
Pemimpin lain, yang namanya disunting, melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Boo dan menyatakan bahawa Gudwara Sikh serta beberapa gereja di Eropah juga mewajibkan pelawat memakai tudung.
Sumber parti itu mengesahkan kesahihan perbualan yang bocor itu tetapi Boo enggan mengesahkannya atas alasan parti itu tidak membenarkan perbincangan dalaman didedahkan kepada umum.
Yeoh di Twitter menegaskan bahawa kekuatan negara ini dibina daripada kepelbagaian dan rasa saling menghormati.
“Saya tidak akan memohon maaf kerana memakai selendang di masjid. Saya memakainya dengan keyakinan bahawa ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan untuk saudara-saudara Islam saya.
“Hidup secara sederhana: inilah Malaysia yang saya komited untuk bina semula,” katanya.-Malaysiakini