IPOH: Operasi bas elektrik bagi laluan Jejak Warisan di Taiping dijangka bermula awal tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kini di peringkat akhir untuk memulakan operasi kemudahan berkenaan, antara lain disasarkan menjadi pemangkin kepada pelancongan warisan tempatan.
“Inisiatif ini membabitkan kerjasama beberapa syarikat tempatan dan juga dari Jepun. Sebuah ‘middle-size electric vehicle (EV)-bus’ yang menggunakan tenaga eletrik sepenuhnya telah disumbangkan oleh kerajaan Jepun melalui Japan International Coopertion Agency (JICA).
“Infrastruktur laluan jejak warisan sudah siap termasuk pembinaan perhentian bas dan pusat cas bas. MPT menjangka dapat melaksanakan operasi bas eletrik di Laluan Jejak Warisan pada awal 2022,” katanya menjawab soalan Loh Sze Yee (DAP-Jalong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.
Mohd Akmal berkata, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pula dalam perancangan untuk menjalin kerjasama dengan pihak swasta dalam penyediaan perkhidmatan pengecasan kereta elektrik bagi usaha menggalakkan penggunaan kenderaan hijau pada masa hadapan.
Katanya, beberapa lokasi juga sudah dikenalpasti untuk pemasangan alat pengecas kenderaan berkenaan, namun operasinya adalah perancangan jangka panjang yang perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti kemudahan infrastruktur serta ketersediaan pihak pengeluar dan pengguna.
Mengenai usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan tempat pengecasan kenderaan elektrik di seluruh negeri terutama di Ipoh, beliau berkata, perkara itu antara cadangan diketengahkan menerusi ‘Perak Sustainable Greenprint’ 2030 yang mana dokumen itu akan diperkenalkan bermula tahun hadapan.
“Salah satunya adalah sektor pengangkutan dan kita ke arah untuk menyediakan tempat pengecas (kenderaan eklektrik) itu sendiri, tetapi ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan di seluruh negeri,” katanya.
BHonline-