KUALA LUMPUR: Lotus’s Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) mengalami gangguan rantaian bekalan susulan sebahagian pembekalnya berhadapan kesan bencana banjir.
Jurucakap Lotus’s Malaysia berkata, beberapa pembekalnya ketika ini mengalami masalah pengangkutan, manakala ada yang ladang dan ternakan mereka terjejas akibat insiden luar jangkaan itu.
“Akibatnya, mereka sama ada telah menutup operasi mereka buat sementara waktu atau beroperasi pada kapasiti 50 peratus yang mempunyai kesan langsung kepada rantaian bekalan Lotus’s.
“Produk yang dibekalkan oleh pembekal ini adalah secara menyeluruh daripada roti kepada makanan dan minuman, sayur-sayuran hingga ternakan seperti ayam dan itik.
“Walau bagaimanapun, aset Lotus’s termasuk pusat pengedaran dan logistik masih lagi beroperasi sepenuhnya dan tidak terbabit dalam bencana banjir,” katanya kepada BH hari ini.
Lotus’s Malaysia berkata, hanya cawangan Lotus’s Shah Alam saja yang menutup operasinya pada 18 Disember yang lalu atas faktor keselamatan selain ketiadaan elektrik sebelum dibuka semula pada 19 Disember 2021.
Beliau berkata, walaupun ditutup operasi, Lotus’s Malaysia membuka cawangan Shah Alam sebagai tempat perlindungan kepada penduduk sekitar selain memberikan bantuan asas serta makanan kepada mereka yang berlindung.
Cawangan Lotus’s Shah Alam juga katanya turut memberikan bantuan segera seperti makanan dan minuman kepada mangsa banjir yang terperangkap di dalam kereta.
“Lotus’s Malaysia akan membantu mereka yang terjejas disebabkan banjir.
“Sebanyak tujuh cawangan Lotus’s Malaysia iaitu di Shah Alam, Puchong, Klang, Cheras, Kuala Selangor, Selayang dan Ara Damansara telah menderma barangan keperluan dan membantu lebih ramai mangsa banjir,” katanya.
Lotus’s Malaysia juga turut akan menganjurkan program derma komuniti di Lotus’s Ara Damansara pada 22 Disember dan Lotus’s Kepong pada 24 Oktober ini.
Orang ramai boleh menyumbang serta meletakkan barangan keperluan kepada mangsa banjir di dua lokasi itu sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
BHonline-