BATU PAHAT : Pesara kerajaan di Johor diminta bergiat aktif menghasilkan penulisan sejarah negeri itu supaya dapat menjadi rujukan kepada generasi muda.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata kerajaan sedia membiayai kos mendokumentasikan penulisan berkenaan menerusi peruntukan daripada Tabung Amanah Warisan Negeri Johor (TAWNJ).
“Perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat TAWNJ, kelmarin. Antara perkara diputuskan adalah menggunakan tabung yang ada untuk menggalakkan lebih banyak kita penulisan sejarah Negeri Johor.
“Penulisan sejarah itu penting kerana kita tidak mahu ia hilang ditelan perubahan waktu dan peredaran zaman. Kita tidak mahu warisan ini hilang daripada pengetahuan anak muda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai pelapis dan pemimpin masa depan, generasi muda perlu tahu asal usul mereka dan warisan sejarah yang patut mereka pertahankan.
Katanya, tabung itu akan membiayai kos sama ada penyelidikan, penulisan dan percetakan bahan berkaitan sejarah dan warisan Johor.
-Berita Harian