SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat projek Canal City seperti dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor harus dikaji semula berikutan banjir besar yang berlaku di negeri itu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sebanyak RM3 bilion telah pun diperuntukan khusus untuk projek tebatan banjir berskala besar pada tahun tersebut.
“Projek ini telah mula dibina pada tahun 2007 sehingga tahun 2009 tetapi tergendala apabila kerajaan Pakatan Harapan ambil alih Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).
“Jika terusan air ini diteruskan ia dapat mengurangkan risiko banjir selain dapat menambah rizab air mentah Selangor, namun saya rasa ada keperluan untuk mengkaji semula perlaksanaan projek ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Najib berkata, lokasi projek tersebut adalah ke selatan Majlis Bandaraya Shah Alam iaitu sekitar Taman Seri Muda dan Kota Kemuning.
“Ia melibatkan pembinaan terusan air utama sepanjang 18 kilometer (km) merentasi daerah Klang hingga ke daerah Hulu Langat yang akan menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat bermatlamat mengalihkan 30 peratus air dari Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak,” jelasnya.
Najib turut berkongsikan beberapa pautan laporan berita membabitkan projek berkenaan sehingga akhirnya ia dibatalkan.
“Berdasarkan laporan pada tahun 2011, kerajaan negeri telah memutuskan bahawa projek Canal City ini tidak memberikan manfaat besar kepada Selangor. Jadi mereka membatalkannya.
-Sinar Harian