KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.79 bilion bagi Belanjawan Negeri Sabah 2022 dengan catatan lebihan sejumlah RM110.68 juta.
Bertemakan ‘Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera’ belanjawan lebihan itu menunjukkan komitmen kerajaan memulihkan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, belanjawan lebihan itu mampu direalisasikan susulan kutipan hasil negeri yang dijangka bertambah RM430.67 juta atau 9.6 peratus.
“Ini bermakna, tahun ini bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan hasil berjumlah RM4.91 bilion.
“Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil tahun ini adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas,” katanya semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan Anggaran Hasil tahun 2022 yang berjumlah RM4.707 bilion.
Katanya, Anggaran Hasil bagi tahun 2022 diklasifikasikan kepada tiga kategori utama iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.
“Berdasarkan Anggaran Hasil 2022, Hasil Cukai dijangka menyumbang RM2.094 bilion atau 44.5 peratus manakala, Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2.138 bilion atau 45.4 peratus.
“Sementara itu, kita dijangka menerima sebanyak RM475.02 juta atau 10.1 peratus melalui kategori Terimaan Bukan Hasil,” katanya.
Beliau berkata, harga petroleum yang tinggi pada ketika ini akan menyumbang kepada peningkatan jangkaan royalti yang bakal diterima pada tahun hadapan.
“Ia menjadikan royalti Petroleum sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM1.2 bilion atau 25.5 peratus.
“Ini diikuti dengan Cukai Jualan Produk Petroleum dengan sumbangan sebanyak RM1.1 bilion atau 23.4 peratus dan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah sebanyak RM810 juta atau 17.2 peratus,” katanya.
UtusanOnline-