PUTRAJAYA: Penggunaan sistem laluan automatik (autogate) Jabatan Imigresen (JIM) diberhentikan sementara di pintu masuk antabangsa dan arahan tersebut adalah berkuat kuasa serta-merta, susulan kewujudan varian baharu Omicron (B.1.1.529).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah tersebut bagi memboleh pegawai imigresen yang bertugas menyoal pengembara mengenai sejarah perjalanan sama ada mereka mengunjungi negara berisiko tinggi atau sebaliknya.
“Penerbangan yang membawa penumpang dari negara yang melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan, hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.
“Justeru, pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu menyediakan laluan khas bagi penerbangan tersebut,” jelasnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan menaiki penerbangan mereka.
“Maklumat pengembara tersebut mestilah dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA untuk memudahkan pengendalian ketibaan pengembara negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron.
“Seterusnya, menyediakan laluan khas kepada pengembara yang telah dikenal pasti tiba dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan, untuk proses saringan kesihatan dan penyelarasan stesen kuarantin khas yang telah ditentukan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, pengembara yang menggunakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dari Singapura ke Malaysia sama ada laluan darat dan udara dikehendaki melakukan ujian saringan kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.
“Laporkan keputusan ujian tersebut di dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.
UtusanOnline-