KUCHING : Barisan Nasional (BN) tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan lambang dacing yang sinonim dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata BN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya terdapat parti politik atau individu menggunakan lambang berkenaan.
Jelasnya, ini kerana BN secara rasmi tidak menyertai PRN Sarawak atas semangat persahabatan akrab dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak dahulu lagi.
“Saya dan rakan-rakan daripada BN dan UMNO semalam sudah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Openg bagi menyatan sokongan kepada GPS pada PRN Sarawak kali ini.
“Kami juga menyatakan secara rasmi bahawa BN tidak akan bertanding pada PRN kali ini dan tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan lambang dacing yang selama ini menjadi simbol kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini yang turut disertai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mohamad berkata, BN juga tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mendapat sokongan parti itu.
“Selain GPS, kita tidak ada parti yang mesra BN di Sarawak, jadi kita tidak membenarkan sesiapa guna lambang dacing dan laporan akan dibuat kepada SPR jika ada pihak menggunakannya.
“Kita juga tidak pernah berunding dengan mana-mana pihak kerana GPS masih sahabat kita, maka sebarang dakyah atau penggunaan lambang dacing tidak pernah dibenarkan,” katanya.
Mengenai kaedah kempen PRN Sarawak kali ini, beliau berharap SPR tidak menggunakan prosedur operasi standard (SOP) ketika PRN Melaka berikutan suasana negeri ini adalah berbeza.
“Di Melaka kita boleh pergi dari hujung ke hujung negeri dalam tempoh 45 minit, tetapi di Sarawak ia tidak boleh dilakukan kerana banyak faktor. BN juga sedia membantu kempen sekiranya terdapat permintaan, namun kita yakin dengan kekuatan dimiliki parti komponen GPS yang mempunyai hubungan bersama setiap etnik,” katanya.
-Berita Harian