KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Achey mengaku ‘mati akal’ melihat mangsa banjir tinggal sehelai sepinggang hingga tidak mampu meluahkan kata memujuk mereka ditimpa musibah.
Menggerakkan misi membantu mangsa banjir bersama teman seperjuangan, Fad, Achey sayu melihat realiti dihadapi mangsa banjir yang dirasakan lebih berat, bukan seperti paparan dalam media sosial.
“Paling sedih apabila melihat mereka tiada tempat tidur. Baju dipakai dari petang hingga malam adalah persalinan sama.
“Misalnya, ketika melawat mangsa banjir di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh. Tiada apa-apa yang selamat. Semuanya habis ditelan air dan lumpur.
“Saya jadi ‘mati akal’ hendak bercakap dengan mereka. Tiada kata-kata yang sesuai diberi. Apa yang kita nampak dalam media sosial tidak sama dengan realiti.
“Maksud saya, keadaan sebenar jauh lebih teruk. Contohnya, di Meru, hampir 2,000 mangsa terjejas, tinggal sehelai sepinggang.
“Jadi, apa saja bekalan yang sampai, mereka sangat memerlukan. Disebabkan itu, jika mahu menghantar bantuan, kena beri pelbagai barangan.
“Contohnya, tuala wanita, ubat gigi, sabun dan sebagainya,” katanya kepada BH Online.
Achey atau nama sebenar, Mohd Nasir Hamzah berkata, dengan bantuan isteri masing-masing, dia dan Fad sudah mengagihkan sumbangan kepada lebih 500 mangsa banjir di kawasan di Sungai Buloh dan Meru, Klang.
“Ahad lalu, kami agih sumbangan di Merbau Sempak dan Meru. Hari ini (semalam) saya dan rakan-rakan serahkan bantuan di Ijok selepas dihubungi saudara-mara yang mengadu rumah dinaiki air,” katanya yang menyediakan 10
kenderaan empat pacuan roda untuk membawa bekalan.
Achey bersyukur misinya dibantu beberapa sukarelawan yang ikhlas berkongsi keringat bagi membantu mangsa banjir.
“Alhamdulillah, penuh kenderaan kami dengan baju, selimut, tuala dan sebagainya sumbangan orang ramai,” katanya.
Achey berharap dapat menggunakan pengaruhnya untuk menarik lebih ramai insan prihatin menghulurkan bantuan.
“Sebenarnya, apa yang mangsa banjir bakal hadapi selepas bencana ini lebih memeritkan. Mereka memerlukan tenaga sukarelawan untuk membersihkan rumah.
“Bantuan keperluan mungkin sudah banyak. Namun, bantuan tenaga, sangat diperlukan. Diharapkan lebih ramai sukarelawan turun padang membantu,” katanya.
Achey berkata, jika berlaku gelombang kedua banjir, dia sudah menyiapkan bot dan anggota sukarelawan dari Johor untuk membantu.
BHonline-