KUALA LUMPUR : Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan insiden air deras di Tasik Kenyir seperti yang dirakamkan dalam video tular.
TNB dalam satu kenyataan menjelaskan air deras yang berlaku itu adalah dari Sungai Telemong berdekatan dengan Gawi.
Menurut kenyataan itu, aliran air Sungai Telemong itu tidak memasuki Tasik Kenyir.
“Setakat ini, paras air di empangan Tasik Kenyir masih selamat dan terkawal.
“Jadi TNB ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan video air deras yang berlaku itu.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi berita yang tidak sahih di media sosial,” menurut kenyataan itu.
Semalam, satu video berdurasi 18 saat yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok menunjukkan air sungai deras sehingga melimpah ke jambatan.
Hasil semakan mendapati, video asal dimuat naik di media sosial menunjukkan lokasi di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV).
-Berita Harian