PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan menegaskan, pelaksanaan ujian saringan Covid-19 di semua sekolah di bawah kementerian itu perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.
Kementerian itu memaklumkan, penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan kementerian melalui surat bertarikh 28 November lalu berkenaan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran sekurang-kurangnya 10 peratus murid.
Jelasnya, pengurusan ujian kendiri Covid-19 bagi murid sekolah dilaksanakan mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 selaras dengan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.
āBerdasarkan surat siaran tersebut, pelaksanaan ujian kendiri ini hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan.
āPelaksanaan ujian kendiri ini dibuat oleh murid dengan pemantauan guru,ā katanya dalam kenyataan hari ini.
Penjelasan itu sebagai merujuk isu gambar yang tular dalam media sosial bertajuk āDi sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajarā.
Kementerian Pendidikan telah membuat siasatan ke atas gambar yang tular itu dan mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang.
Katanya, secara keseluruhan, seramai 16 murid dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur.
āWalau bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing dua Jururawat Masyarakat,ā katanya.
-Utusan Online