JOHOR BAHRU – Kira-kira 11,000 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas bagi memastikan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah keanggotaan itu melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan juga Bukit Aman.
“Pihak polis kini menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam PRN Johor.
“Secara kasarnya, kita memang sudah melakukan persiapan melibatkan jumlah anggota dan dalam mengenal pasti lokasi panas yang akan menjadi tumpuan,” katanya ketika sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Rabu.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pelbagai platform media sosial sepanjang tempoh PRN Johor bagi memastikan tidak disalah guna.
“Memang ada pasukan khas untuk pantau media sosial dan meneliti pelbagai fakta serta komen yang dibuat masyarakat bagi memastikan tiada penyebaran maklumat palsu berlaku.
“Pasukan khas itu melibatkan pegawai dan anggota yang mahir dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menyediakan keanggotaan mencukupi bagi PRN itu dan penyusunan gerak kerja berikutnya dilaksanakan oleh ketua polis negeri.
DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
-Sinar Harian