Kuala Terengganu : Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas kira-kira 1,900 keping sijil, malam kelmarin.
Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri yang membawa penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang pada 7 malam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat diterima mengenai penipuan mengeluarkan sijil vaksin kepada golongan yang tidak mahu disuntik atau golongan anti vaksin.
Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September tahun lalu dengan setiap sijil dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.
“Setakat ini, terdapat 1,900 individu terbabit mendapatkan sijil ini dan kita sedang menyiasat sama ada semuanya tulen atau sebaliknya.
“Kita turut merampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksin yang menjalani dos satu, komputer riba, telefon dan sebagainya.
“Siasatan akan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menilai dan membuat pemeriksaan terhadap aplikasi MySejahtera mereka,” katanya pada sidang media bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong.
Rohaimi berkata, siasatan mendapati suspek memperoleh kebenaran untuk memberikan suntikan vaksin pada September tahun lalu.
Katanya, suspek dipercayai menghebahkan kegiatan itu secara dalam talian dengan siasatan awal mendapati terdapat dokumen daripada pelanggan dari Kedah dan Kuala Lumpur.
“Tidak logik mereka datang ke Terengganu untuk mendapatkan suntikan di sebuah klinik di Marang dan itu antara faktor disiasat KKM.
“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Rohaimi berkata, pihaknya memandang serius kerana ia bukan hanya membabitkan penipuan, tetapi bencana atau musibah kesihatan kepada masyarakat umum.
Beliau berkata, pihaknya memberi amaran keras dan akan meneruskan operasi sama bersama KKM untuk mengesan kegiatan berkenaan di lokasi lain.
Katanya, tidak adil kepada masyarakat lain dikelilingi golongan ini dan sebab itu polis akan teruskan operasi untuk kesan pihak tidak bertanggungjawab.
-Harian Metro