Kota Tinggi : Tiga lagi mangsa lemas ditemui, manakala tiga lagi pendatang asing tanpa izin (Pati) masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia, awal pagi tadi.
Ia menjadikan keseluruhan 24 mangsa ditemui dengan 19 terselamat, lima ditemui lemas, manakala tiga lagi masih hilang.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata kesemuanya ditemui terapung di lokasi kejadian iaitu satu batu nautika dari teluk berkenaan.
Katanya, dua mayat wanita ditemui bersama dengan yang terselamat, manakala tiga lagi yang terbaharu mayat wanita ditemui kira-kira satu kilometer daripada lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi tadi.
“Semua PATI warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun itu dipercayai dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan, mahu mendarat di Teluk Ramunia.
“Bot kayu yang dinaiki sepanjang 15 meter dan mempunyai tiga enjin berkuasa 200 kuasa kuda, dipercayai boleh bergerak selaju 80 kilometer sejam dengan kapasiti 27 penumpang.
“Difahamkan, PATI berkemungkinan hendak mendarat di kawasan sekitar Teluk Ramunia kerana faktor jarak dekat berikutan jarak dari Pulau Bintan ke Teluk Ramunia kira-kira 11 batu nautika dan sempadan Indonesia dengan Malaysia kira-kira enam batu nautika yang mengambil masa hanya setengah jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pengerang, di sini, hari ini.
Katanya, sehingga kini, operasi pencarian diteruskan meliputi 50 batu nautika di laut, manakala 20 kilometer di darat iaitu dari Tanjung Penyusup hingga Pos Maritim Pengerang.
“Seramai 97 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dan tujuh aset yang terbabit dalam Op Carilamat.
“Semua mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat, manakala yang terselamat dibawa ke Pos Angkatan Tentera Malaysia Tanjung Sepang, di sini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, dua maut, manakala enam PATI masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia, awal pagi tadi.
Nurul Hizam berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapat maklumat melalui Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) mengenai kejadian yang dilaporkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Katanya, terdapat sebuah bot yang disyaki membawa seramai 27 individu warga Indonesia, karam, di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia, jam 4.50 pagi tadi.
-Harian Metro