KOTA BHARU: Tiga peniaga yang didapati mengenakan pembelian bersyarat untuk minyak masak paket satu kilogram kepada pengguna bakal berdepan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tindakan itu diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil pemeriksaan ke atas peniaga masing-masing seorang di Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman, berkata anggota penguat kuasa melakukan penyamaran sebagai pembeli untuk mengesan aktiviti terbabit selama tiga hari yang berakhir semalam.
Pihaknya mendapati tiga peniaga berkenaan mengenakan syarat kepada pengguna supaya membuat pembelian barangan runcit lain sebelum dapat membeli minyak masak bersubsidi.
“Operasi itu hasil maklumat awam dan risikan dijalankan ke atas beberapa premis yang disyaki menjual barangan runcit dan mengenakan pembelian bersyarat ke atas mana-mana barangan runcit atau borong bagi pembelian satu kilogram minyak masak paket bersubsidi.
“Kita akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tidak sah dalam penjualan barangan kawalan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada mereka akan dikenakan kompaun atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sekiranya dituduh mahkamah dan sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu, manakala bagi perbadanan boleh didenda sehingga RM2 juta.
Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin, hasil aduan awam atau arahan daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya ke atas 68,897 premis dan mengeluarkan sebanyak 903 tindakan di bawah pelbagai akta.
Katanya, dalam pemeriksaan itu pihaknya merampas pelbagai barangan kes dengan nilai lebih RM3 juta.
“Selain itu, sebanyak 717 tindakan kompaun berjumlah RM497,350 dikenakan terhadap peniaga yang melanggar perundangan di bawah akta-akta yang ditetapkan KPDNHEP termasuk Akta 342.
“Kita juga menerima sebanyak 693 aduan secara rasmi menerusi sistem e-aduan dan siasatan dijalankan dengan segera. Pada masa sama, empat kes yang dituduh di mahkamah dikenakan denda keseluruhan sebanyak RM22,800,” katanya.
BHonline-